JURULATIH pasukan kebangsaan England, Roy Hodgson mengumumkan meletak jawatan selepas pasukannya ‘dimalukan’ Iceland dalam pusingan kalah mati yang berlangsung awal pagi tadi.
Roy, 68, mengambil alih jawatan ditinggalkan Fabio Capello selama tempoh kontrak empat tahun sejak 2012, namun setakat ini pasukan bawah kendaliannya itu hanya mampu meraih tiga kemenangan daripada 11 perlawanan penting sebelum ini.
Paling aib, England tumbang kepada Iceland yang hanya mempunyai populasi penduduk sebanyak 330,000 orang dan merupakan antara pasukan underdog untuk saingan Euro 2016.
“Saya mohon maaf kerana ia berakhir sebegini. Saya harap selepas ini anda dapat melihat pasukan England melangkah ke perlawanan akhir bagi kejohanan besar selepas ini.
“Sekarang adalah untuk seseorang yang lebih layak untuk melihat segala perkembangan dan potensi bagi kumpulan pemain berbakat ini (pemain England),” katanya.
England tewas kepada Iceland 2-1 dalam saingan peringkat kalah mati yang diadakan di Stadium Allianz Riviera, Nice, Perancis.
Iceland bakal menentang tuan rumah, Perancis pada 4 Julai ini bagi menentukan pasukan mana yang layak mara ke peringkat separuh akhir Euro 2016. – MYNEWSHUB.CC