DALAM diam-diam rupanya aktor Bront Palarae sudah pun bergelar bapa kepada seorang cahaya mata sejak dua bulan lalu.
Pelakon berbakat besar itu sememangnya dikenali sebagai seorang selebriti yang sangat berahsia mengenai hal peribadinya daripada tatapan pihak media dan peminat.
Memetik sumber hiburan, Bront berasa begitu teruja dengan kehadiran anak sulungnya itu yang tidak didedahkan jantinanya kepada umum.

“Saya rasa pengalaman sebagai bapa adalah menyeronokkan. Namun pada masa yang sama, saya masih lagi tak percaya yang saya kini sudah ada anak.
“Setiap hari terfikir, oh aku sudah ada anak. Juga menjadikan paksi kehidupan saya kini sedikit berubah. Sebelum ini cuma ada isteri, kini segala keputusan yang saya buat kenalah melibatkan si kecil itu.
“Memang tidak dinafikan, apabila sudah ada anak, memang anak sajalah yang saya fikir. Itu belum nanti dia sudah besar, pergi sekolah dan sebagainya.
“Pendek kata, memang banyak yang saya perlu kendalikan dan setiap hari adalah proses belajar untuk saya menjadi bapa yang baik,” katanya.

Bront dan isteri, yang merupakan kenalan lamanya bernikah pada Ogos 2013 dan tiada sebarang liputan media mengenai majlis bahagia aktor berusia 38 tahun itu berikutan prinsip hidupnya yang tidak mahu mendedahkan hal peribadi untuk tatapan umum. – MYNEWSHUB.CC

