BINTANG remaja, Elfira Loy menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa kerjaya seninya merosot kerana kemunculan artis-artis baharu.
Pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 22 berkata, dia masih lagi menerima banyak tawaran namun buat masa sekarang fokusnya lebih tertumpu kepada bidang pengacaraan dan perniagaan kafenya.

“Saya masih lagi menerima banyak tawaran untuk berlakon cuma buat masa sekarang saya lebih cendorong untuk mengacara dan memberi fokus kepada perniagaan kafe yang dijalankan,” katanya kepada sebuah portal akhbar.
Walau sudah 10 tahun berada di dalam industri seni tempatan, kini Elfira meluahkan hasrat untuk mencuba sesuatu yang mampu memberi cabaran dan pengalaman dalam hidupnya.
Namun, pelakon kecil molek yang baharu sahaja berhijab ini turut meluahkan rasa gusar dan bimbang peminat-peminatnya lupa kehadirannya dalam industri tempatan.
Perasaan itu dizahirkan kerana kemunculan pelapis baharu yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan itu.

“Sebenarnya saya juga pernah terfikir bahawa nanti orang akan lupakan saya sebagai seorang pelakon tetapi saya percaya apa yang pernah diberikan kepada mereka suatu ketika dahulu adalah sesuatu lakonan yang ikhlas.
“Saya juga beruntung kerana tiada lagi orang yang mempunyai kening seperti saya ini (kening tebal) jadi amat mustahil untuk orang melupakan saya,” ujar secara berseloroh.
Perkembangan terbaru, Elfira yang sememangnya gemar  berfesyen berasa syukur kerana dipilih sebagai wajah baru untuk koleksi musim sejuk 2016 kolaborasi dua jenama terkenal iaitu UNIQLO x Hana Tajima. -MYNEWSHUB.CC