KUANTAN – Misi Malaysia untuk meraih mata penuh dalam perlawanan kedua saingan Kumpulan B tidak kesampaian setelah ditumpaskan Laos 2-4 pada Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF di Pantai Teluk Chempedak di sini, hari ini.
Pasukan Laos menunjukkan penguasaan dengan membuka jaringan pantas hasil ledakan Khounsombath Phommaxay seawal minit pertama perlawanan.
Penguasaan pasukan itu diteruskan dengan tambahan dua gol disempurnakan Phithack Kongniathilath pada minit ke-13 dan 14 suku masa kedua.
Malaysia kemudian bangkit merapatkan jurang gol hasil jaringan Mohd Riduwan Mohd Nor pada minit ke-21 dan Mohd Jamil Daud minit ke-28 bagi kedudukan 2-3.
Namun, kelincahan pemain Laos ternyata sukar dihalang apabila berjaya melengkapkan gol keempat yang disempurnakan Khitsakhone Champathong pada minit ke-35.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Myanmar berjaya menundukkan Filipina 7-3.
Thailand pula berjaya merampas slot teratas Kumpulan A selepas menewaskan Felda 5-4 manakala Vietnam menewaskan Indonesia 6-2. – BERNAMA

