BERSEMPENA bulan Ramadan yang mulia, Hotel Seri Pacific mengambil kesempatan untuk meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan 5,000 bungkus bubur lambuk dan meraikan golongan yang kurang berkemampuan pada minggu lalu.
Program itu diketuai oleh Pengurus Besar Hotel Seri Pacific, Mohammad Halim Merican dan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran, Zakariya Musa.


” Bubur lambuk merupakan juadah yang paling mendapat sambutan pada bulan Ramadan setiap tahun. Selain daripada mengagihkan bubur lambuk, pihak kami juga sentiasa memberikan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
“Ianya selaras dengan objektif kami dalam menjalankan perniagaan ini iaitu untuk menyumbang kepada masyarakat,” kata Halim.
Difahamkan, penyediaan bubur lambuk itu dimulakan sejak jam 7 pagi lagi di bawah seliaan eksekutif chef, Steven G, menghimpunkan 90 kakitangan berbilang pangkat daripada pelbagai jabatan.


Bubur lambuk yang telah siap dibungkus dihantar ke tempat-tempat pengagihan di sekitar ibu kota. Antara kawasan yang terlibat ialah di hadapan pintu masuk Hotel Seri Pacific, pusat beli-belah SOGO, Masjid Jamek, KL Sentral dan Plaza Mont Kiara.


Program CSR pada hari itu diakhiri dengan sesi majlis berbuka puasa dengan Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi bersama kakitangan hotel.
Seramai 45 orang kanak-kanak kurang berkemampuan disamping penjaga mereka telah dijemput untuk bersama-sama memeriahkan acara berbuka puasa tersebut.
Selain daripada dapat menikmati juadah berbuka puasa yang enak-enak, kanak-kanak itu turut menerima sumbangan duit raya dan beberapa barangan keperluan harian daripada pihak Seri Pacific. – MYNEWSHUB.CC