KUALA KANGSAR – Teruja mahu sangat menjatuhkan Barisan Nasional (BN), Tun Dr. Mahathir Mohamad terlupa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar turut ditandingi calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Keadaan ini jauh berbeza dengan PRK Parlimen Sungai Besar di Selangor apabila Mahathir sehari suntuk berada di sana pada Sabtu sibuk berkempen hanya untuk memenangkan calon PAN pilihannya sendiri, Azhar Abdul Shukur.
Misi mustahil Mahathir amat jelas untuk menghancurkan calon BN, Budiman Mohd. Zohdi tetapi pada masa sama beliau enggan pula menyokong calon PAS, Dr. Abdul Rani Osman kerana dianggap sudah menjadi sekutu UMNO.
Modus operandi sama turut dikitar semula di Kuala Kangsar apabila Mahathir dalam misi menewaskan calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid, beliau sanggup bersama-sama dengan calon PAN, Prof. Dr. Ahmad Termizi Ramli.
Sekali lagi Mahathir ketika muncul kali pertama di Kuala Kangsar pada Ahad menjauhkan diri daripada calon PAS iaitu Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr. Najihatussalehah Ahmad; mungkin kerana PAS rapat dengan UMNO.

Mahathir rela dengan PAN yang disokong DAP hanya kerana kebencian meluap-luap gagal menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding cara sama beliau dahulu berjaya terhadap Tun Abdullah Badawi.
Malangnya, perancangan terbaik Mahathir itu bertukar sebaliknya apabila menjadi lawak kelam kabut ketika beliau hadir pada Forum Selamatkan Malaysia Bersama Deklarasi Rakyat di Taman Chandan Puteri di sini hari ini.
Terdahulu pada sebelah pagi beliau berceramah di restoran Chun Ji, Taman Suria di sini yang juga dihadiri Ahmad Termizi selain Presiden PAN, Mohamad Sabu; otai DAP, Lim Kit Siang dan bekas pemimpin PAS, Husam Musa.
Itu kawasan majoriti kaum Tionghua yang diketahui tegar sokong pembangkang namun program berkenaan hanya dihadiri 200 orang berbanding had kapasiti maksimum restoran Cina tersebut mampu menampung 500 orang.

Ramai penganalisis politik tempatan menyifatkan program pada pagi itu gagal mencapai matlamat malah lebih syok sendiri Mahathir ‘hentam’ Najib dan kerajaan BN yang selama ini menyokong 22 tahun pemerintahan beliau itu.
Justeru program kedua di kawasan Bukit Chandan yang majoriti Melayu menjadi platform terbaik Mahathir hasut penduduk mengundi PAN dan menolak bukan sahaja BN sehingga hilang wang deposit, malahan calon PAS.
Kelakarnya dalam misi aneh itu, beliau tersasul menyeru pengundi Bandar Diraja Perak tersebut mengundi calon bebas yang langsung kurang dikenali berbanding PAN sendiri demi menumbangkan serentak calon BN dan PAS.
Secara kebetulan sebelum Mahathir berucap, Izat Bukhary memeranjatkan hadirin apabila muncul dan duduk atas pentas bersama-sama Ahmad Termizi serta memberi alasan forum itu terbuka kepada semua termasuk dirinya.

Sewaktu berucap, Izat Bukhary membuat kejutan apabila menandatangani Deklarasi Rakyat dan menjelaskan beliau menyokong Mahathir sambil meminta pengundi memilih dirinya, bukannya calon PAS, apatah lagi PAS dan BN.
Terbawa-bawa seruan Izat Bukhary yang turut menyerahkan sendiri dokumen Deklarasi Rakyat ditandatanganinya, Mahathir ketika berucap menyeru penduduk agar menyokong penuh calon yang menandatangani deklarasi tersebut.
Alahai, apa sudah berlaku ini? Ia bukan sahaja dramatik bahkan memalukan Mahathir kerana misi asal beliau mahu memenangkan calon PAN tetapi tiba-tiba berubah meminta masyarakat mengundi wakil tunggal bebas itu pula.
Mungkinkah ini tanda tidak baik kepada PAN apabila awal lagi Mahathir kantoi kempen bagi pihak salah dek kerana sangka PRK di Kuala Kangsar macam di Sungai Besar; tiga penjuru antara BN, PAS dan PAN. – Mynewshub.cc/HAA
#PRKKUALAKANGSAR

