SEJAK akhir-akhir ini ramai selebriti terlibat dengan perniagaan fesyen seperti rekaan busana dan hijab yang mampu menarik perhatian peminat fesyen tempatan.
Namun, bukan semua ‘suka’ dengan perkembangan tersebut, malah baru-baru ini seorang pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail ada memberikan pendapatnya mengenai perkara tersebut.
Ezuwan menyifatkan situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan periuk nasinya dan pereka fesyen yang lain.
BACA: Artis Buat Bisnes Pakaian Jejaskan Pereka Fesyen
Mengulas mengenai hal itu, pelakon Nora Danish ada komentarnya yang tersendiri.
Menurut pelakon genit berusia 34 tahun itu, semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Dia berpendapat tidak salah untuk golongan artis dan pereka fesyen bersaing secara sihat bagi memajukan industri fesyen tanah air.
“Saya memahami luahan pereka fesyen yang barangkali tersalah faham hingga menganggap kehadiran selebriti mengeluarkan koleksi sendiri mengganggu pasaran.
“Memang kami tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang ini namun minat selain pengalaman serta cita rasa membuatkan ramai menunggu koleksi kami.
“Zaman sudah berubah, kami juga mahu mencuri peluang menceburi bidang perniagaan. Pucuk pangkalnya rezeki masing-masing,” katanya kepada Berita Harian.
Menurutnya lagi, pereka fesyen tidak sepatutnya berasa tercabar dengan artis kerana mereka masih mempunyai kualiti rekaan yang tersendiri.
“Rasanya tidak perlu membandingkan rekaan mereka dengan koleksi kami. Sebagai pereka fesyen, saya rasa mereka tidak perlu tercabar kerana mereka bersandarkan banyak kelebihan dibandingkan orang baharu seperti saya,” ujarnya lagi. – MYNEWSHUB.CC

