Akibat pertengkaran, seorang sub kontraktor kilang percetakkan maut ditikam oleh dua pekerja dalam kejadian yang berlaku di Flat Taman Gembira, Johor Baharu.
Menurut laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, mangsa Lee Chee Mian, 48 meninggal dunia sejurus tiba di sebuah poliklinik.
“Difahamkan Lee pergi ke flat berkenaan pada kira-kira pukul 1.30 petang untuk bertemu dua pekerjanya yang menyewa di situ kerana kedua-dua pekerja terbabit tidak hadir bekerja di sebelah petang dan hanya bekerja separuh hari.
“Telah berlaku pertengkaran di luar rumah antara Lee dan kedua-dua pekerja rakyat Vietnam itu sehingga menyebabkan Lee ditikam menggunakan senjata tajam di bahagian rusuk kanan,” ulas beliau.
Kata Sulaiman lagi, Lee berjaya untuk pergi ke poliklinik yang terletak lebih kurang 500 meter dari flat itu, namun rebah ketika tiba dan disahkan mati.
Hasil bedah siasat mendapati, kesan tiga tikaman ditemui dan ia menembusi jantung lantas menjadi punca kematian Lee.
Setakat ini polis percaya motif kes berkenaan ada kena mengena dengan soal kerja dan bayaran gaji.
“Sehubungan kejadian itu, polis kini menahan lima lelaki rakyat Vietnam yang kesemuanya pekerja Lee bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.” – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

