MARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan Operasi Khas Timur Laut bagi mengekang dan membasmi kesalahan yang dilakukan nelayan asing dan tempatan, khususnya di Wilayah Timur.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata operasi tersebut bermula hari ini sehingga 23 Mei bagi menanggani isu pukat pari, pencemaran minyak, penggunaan ‘speargun’ dan salah laku bot pelancong.
Katanya langkah tersebut sebagai usaha memulihara kehidupan di kawasan Taman Laut yang menempatkan hidupan terancam dan semakin pupus seperti penyu.
“Kita banyak menerima aduan berhubung salah laku penggunaan pukat sehingga menyebabkan penyu tersangkut pada pukat, terkena kipas bot sehingga membawa kepada kematian, begitu juga dengan kes tumpahan minyak.
“Penyu merupakan ikon negeri Terengganu yang menjadi tarikan kepada para pelancong malangnya spesies ini dilaporkan semakin pupus akibat sikap manusia”, katanya kepada pemberita selepas Program Sahabat Maritim, di sini hari ini.
Katanya, pembuangan sisa sampah seperti plastik dari bot pelancong juga menjadi punca kematian haiwan berkenaan dan ia perlu dibendung supaya sumber pendapatan sektor pelancongan tidak terjejas.
Menurutnya operasi yang melibatkan dua helikopter dan tiga kapal itu akan bermula di perairan Pulau Kapas, Pulau Tenggol, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian.
Justeru, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku di laut, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim (Pomar) Wilayah Timur ditalian 09-5717300.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 138 program Sahabat Maritim telah dilancarkan sejak 2007 membabitkan 28 wilayah timur.
Beliau berkata program seperti itu dapat mendekatkan para nelayan bersama pihaknya sekali gus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. – BERNAMA

