KEMAMAN – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang empat hari lalu selepas memasuki kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Tanjung Bukit Mentok, ditemui selamat petang tadi.
Abdullah Besar, 60, yang mengalami masalah gangguan mental ditemui kira-kira pukul 3 petang tadi berhampiran kawasan sungai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Normansah Din berkata mangsa ditemui masih lengkap berpakaian tetapi dalam keadaan lemah, kira-kira 1 kilometer dari kawasan rumahnya.
Katanya warga emas itu dijumpai penduduk kampung yang melakukan operasi pencarian di kawasan hutan berkenaan sejak pukul 2 petang tadi.
“Dalam operasi yang memasuki hari keempat ini, penduduk kampung berjaya menemui mangsa berhampiran kawasan rumahnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini,hari ini.
Katanya mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
Sabtu lalu, mangsa gagal pulang ke rumah selepas memasuki hutan itu kira-kira pukul 10 pagi.
Ekoran kejadian itu, ahli keluarga mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Chukai pada keesokannya sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.
Sementara itu, seorang penduduk Wan Ismail Awang, 41, berkata dia bersama 14 lagi penduduk kampung memulakan operasi mengesan Abdullah pada pukul 2 petang.
Katanya mereka berjaya menjejaki tapak kaki mangsa sebelum menemui telefon bimbit, kopiah serta seluar mangsa kira-kira 50 meter dari sungai di situ.
“Selepas menemui beberapa petunjuk itu, kami memasang mercun sebelum mangsa terkejut lalu bangun dan mengesannya yang berselindung di bawah pokok nipah.
“Mangsa ditemui dalam keadaan keletihan kerana tiada makanan dan kami terpaksa mendukungnya untuk dibawa keluar,” katanya. – BERNAMA

