MOSCOW – Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam satu pergaduhan membabitkan ratusan lelaki yang memecah masuk sebuah tanah perkuburan di barat daya Moscow.
“Ketika ini kita mempunyai 26 orang cedera manakala tiga mati,” lapor agensi berita Interfax memetik jurucakap Jabatan Kesihatan Moscow.
Setakat ini 23 orang dirawat di hospital dengan empat daripadanya mengalami kecederaan parah,” kata pegawai kerajaan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri yang dipetik Interfax, berkata pihak berkuasa sudah menahan 90 orang selepas kejadian pergaduhan itu.
Gambar siaran televisyen LifeNews menunjukkan puluhan lelaki bersenjata tajam dan batang besi bergaduh di dalam tanah perkuburan berkenaan dengan bunyi tembakan turut kedengaran.
Laporan menyebut pergaduhan di tanah perkuburan di Khovanskoye itu membabitkan 200 pendatang asing dari negara bekas Soviet di Asia Tengah dengan penduduk Russia dari utara Caucasus.
Dua daripada mangsa adalah warga Tajikistan, demikian menurut Karomat Sharipov, wakil masyarakat Tajik.
“Mereka adalah warga Tajik yang sudah bekerja di Russia lebih 20 tahun,” kata Sharipov memberitahu Interfax. “Anggota kumpulan samseng datang menuntut agar warga Tajik menyerahkan 20 peratus hasil pendapatan mereka.
Pergaduhan bermula apabila pekerja Tajik enggan berbuat demikian,” kata Sharipov, yang mengetuai kumpulan pekerja buruh Tajik berkenaan. – AFP/BH ONLINE

