PUTRAJAYA – Sistem saliran longkang jalan yang tidak efisien adalah punca aliran air tersekat sehingga menyebabkan banjir kilat di Kuala Lumpur semalam, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Justeru sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, sistem saliran sedia ada perlu didalamkan dan kerja-kerja penyelenggaraan perlu dijalankan dengan lebih kerap, katanya.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, sistem saliran di kawasan Jalan Duta, Universiti Malaya dan Bangsar perlu dinaik taraf oleh pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media mengenai kejadian banjir itu, di sini hari ini.
Antara laluan yang terjejas teruk di Kuala Lumpur semalam akibat banjir kilat adalah Jalan Semantan, Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta), Jalan Bangsar, Jalan Pudu dan Jalan Pantai Baharu.
Dalam pada itu, Wan Junaidi juga tidak menolak kemungkinan banjir kilat di Jalan Duta sebahagiannya adalah berpunca daripada projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di kawasan itu.
“Saya mungkin akan bercakap dengan mereka,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan pihak MRT bagi membincangkan perkara itu.
Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dan Rekabentuk Terperinci mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan pembinaan dan penyelenggaraan sistem saliran bandar adalah di bawah tanggungjawab pihak terbabit.
Berdasarkan perkembangan terkini, katanya, JPS sedang dalam proses memperkasa MSMA melalui perluasan skop daripada aktiviti pembangunan perumahan dan industri kepada aktiviti melibatkan penggunakan tanah yang luas seperti aktiviti pertanian.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran dan sungai bagi mengurangkan risiko banjir kilat selain mengurangkan kos penyelenggaraan sistem saliran supaya ia dapat berfungsi dengan keupayaan penuh. – BERNAMA

