KANGAR – Sektor koperasi di Perlis yang sedang berkembang dengan baik ketika ini mampu memberi pulangan yang menguntungkan serta bermanfaat kepada pelbagai pihak di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Perlis mempunyai prospek ekonomi berimpak tinggi dalam bidang koperasi yang perlu diketengahkan terutama bagi sektor pelancongan, pertanian, perikanan, pembuatan dan komuniti.
“Justeru koperasi di negeri ini perlu memanfaatkan peluang yang dimiliki dengan giat meneroka bidang perniagaan yang benar-benar mampu memberi keuntungan,” baginda bertitah semasa merasmikan dua unit bangunan Angkasa negeri bernilai hampir RM1 juta di Taman Pertiwi Indah, Seriab di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah Perlis mempunyai sedikit kelebihan kerana terletak bersempadan dengan Thailand, maka peluang perniagaan bagi bidang koperasi di sektor seperti perhotelan, inap desa, rumah kedai, restoran lebih luas.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah dalam bidang pertanian, pihak koperasi boleh memanfaatkan kesuburan tanah melalui penanaman mempelam harumanis dalam skala besar dengan kerjasama strategik antara koperasi atau ahli-ahli koperasi yang mempunyai tanah.
“Koperasi pertanian juga boleh menceburi industri berasaskan makanan di bawah projek Pembangunan Koridor Utara yang berusaha mentransformasi negeri-negeri utara kepada ‘Zon Makanan Moden’ Malaysia,” titah baginda.
Bagi koperasi komuniti, baginda bertitah sumbangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) juga telah meningkatkan pencapaian gerakan koperasi sekolah sehingga mampu menjana pendapatan tahunan mencecah RM1 juta dan meningkatkan bilangan koperasi kariah masjid di negeri ini.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob yang berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, menyarankan koperasi di negara ini melibatkan diri dalam pemilikan hartanah yang tidak memerlukan banyak tenaga kerja.
Timbalan Presiden ANGKASA, Mutadho Bahari berkata sehingga kini ANGKASA menaungi kira-kira 12,500 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira lapan juta orang melibatkan nilai saham RM15 bilion, jumlah aset RM120 bilion dan pendapatan tahunan RM37 bilion. – BERNAMA
