SEORANG penjual nasi lemak sempat merakamkan selfie dengan penguatkuasa Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) walaupun disaman.
Ahmad Faizal Murtadza, 26; kelihatan tetap ceria ketika merakamkan gambar dengan penguat kuasa bertugas, berbeza dengan kebanyakan peniaga lain apabila disaman.
Menerusi komen di Facebook Ahmad Faizal menjelaskan, perniagaan nasi lemaknya itu telah diusahakannya sejak zaman bujang lagi namun terpaksa dihentikan setelah berkahwin dan mempunyai cahaya mata.
Setelah itu Ahmad Faizal beralih arah menceburkan diri dalam perkhidmatan sebagai runner dan namanya kini mula mendapat perhatian netizen.

Sepanjang bergelar usahawan nasi lemak disaman merupakan perkara biasa buat pemuda ini. Melalui satu komen, pemuda ini turut berkongsi pengalaman gerainya disita.
“Hihi dah biasa kena saman kekadang dorang tak yah turun van saya hulur ic kt tingkap je. Takde hasil nak marah, baik kita senyum je,” tulisnya.
Difahamkan, pemuda ini pernah menerima saman sebanyak 13 kali dan setiap tahun mendapat surat amaran dari pihak MBSA. Disebabkan itulah dia selamba sahaja berselfie walaupun disaman.

Pada 27 April lalu, Ahmad Faizal telah memuat naik gambarnya bersama dua anggota MBSA sambil tersenyum.
“Alhamdulillah rutin bulanan bila niaga nasi lemak kena saman, haha kali ni dorang bagus bagi salam. Yang best sporting siap boleh selfie. Jangan kecam dorang sbb dia jalankan tugas katanya terima aduan. Mybe nasi lemak sedap.”

Perkembangan terbaharu, pemuda ini bakal muncul dalam rancangan dokumentari Majalah 3 pada 2 Mei akan datang. – MYNEWSHUB.CC

