KUCHING – Jika sebelum ini Mynewshub ada melaporkan suasana lesu ceramah oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Miri selepas penamaan calon Isnin lalu yang amat mengaibkan apabila dihadiri 200 orang sahaja.
Okaylah itu mungkin hari pertama berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 dan bandar raya minyak tersebut bersebelahan jirannya, Brunei memang letak jauh lebih 800 kilometer dari ibu negeri Sarawak, Kuching.
Hakikatnya banyak ceramah parti pembangkang berasal dari Semenanjung itu yang kurang sambutan sehinggakan ada cakap-cakap masyarakat tempatan menyatakan suasana agak jauh berbeza semasa PRN ke-10 pada 2011 lalu.
Ketika itu letaklah sesiapa sahaja waima calon DAP yang bakal berucap pada ceramah itu gagap bercakap, jangan bimbang satu padang bola mesti penuh sesak melimpah ruah sehingga menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas.
Minat luar biasa penduduk Sarawak pada masa itu khasnya kaum Cina disebabkan perasaan amat benci kepada kepimpinan negeri sebelum ini selain pelbagai isu setempat yang berjaya dimainkan pembangkang khasnya DAP.
Itu dulu tetapi kini parti tersebut menggunakan isu nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menyemai kebencian pengundi terhadap Barisan Nasional (BN).
Ini memang isu panas di Semenanjung namun tinjauan Mynewshub mengikuti ceramah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen di Batu 7, Kota Sentosa di sini malam Rabu bukan sahaja menyedihkan malah memalukan.
Bertempat di Pusat Khidmat DAP ADUN Kota Sentosa, hujan gerimis berjaya mendinginkan ‘suhu panas’ ceramah berapi-api ramai pemimpin DAP negeri dan penampilan khas, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.



Selain Chieng Jen yang mempertahankan kerusi Kota Sentosa, calon parti itu untuk PRN kali ini iaitu Wong King Wei (Padungan), Abdul Aziz Isa (Batu Kitang) dan Christina Chiew Wang See (Batu Kawa) juga tampil berucap.
Dianggap bertaraf ‘grand’ sebab memang bukan calang-calang punya kempen ceramah, malangnya datang tidak sampai 300 orang termasuk puluhan ahli jentera parti itu, peniaga kedai dan pelanggannya serta pejalan kaki.
Di manakah silapnya walhal siap ada siaran langsung video ucapan khas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua membelasah BN khasnya isu 1MDB dan dipancarkan serentak di tempat ceramah DAP lain di Sarawak.
Ini cukup menarik kerana buat julung Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu yang juga antara hampir 50 individu dihalang masuk ke Sarawak, masih ‘bebas’ berceramah di negeri ini waima secara jarak jauh dari Kuala Lumpur.
Chieng Jen juga bukan sembarangan pemimpin DAP Sarawak kerana beliau sudah dianggap otai yang menjadi Ahli Parlimen Bandar Kuching sejak Pilihan Raya Umum 2004 dan ADUN Kota Sentosa sejak PRN 2006 lagi.
Mungkinkah pertelagahan DAP dengan PKR kerana bertindih banyak kerusi sama selain manifesto DAP yang penuh lawak jenaka dan berbeza dengan PKR serta dilancarkan berasingan menjadi perhatian rakyat Sarawak.
Adakah rakyat Sarawak sudah mula bosan dengan auta DAP dan tidak sabar-sabar menghukum calon parti tersebut pada hari pengundian 7 Mei depan, sama-samalah kita nantikan debarannya! – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK

