KUALA LUMPUR – Barisan pemain Kelantan yang akan beraksi pada musim depan akan dimuktamadkan oleh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baharu.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA akan mengadakan Mesyuarat Agung persatuan itu pada 15 November ini bagi memilih AJK KAFA yang seterusnya bagi sesi 2014-2018.
“Sebelum dapat dimuktamadkan barisan The Red Warriors (TRW) 2015, kami AJK KAFA sedia ada akan menamatkan khidmat sesi 2010-2014 pada 15 November 2014 selari dengan peraturan KAFA.
“KAFA akan mengadakan mesyuarat agungnya pada tarikh itu dan semua AJK akan gugur secara automatik. AJK baharu akan terdiri daripada seorang presiden, timbalan presiden, naib serta lapan AJK wajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar berkata, mereka yang akan menerajui jawatan itu dipilih secara undi oleh perwakilan badan gabungan KAFA bagi tempoh 2014-2018.
Justeru, katanya, barisan pemain Kelantan yang baharu terpaksa menunggu barisan AJK KAFA yang baharu dalam menentukan hala tuju bola sepak TRW untuk tempoh empat tahun akan datang.
“Pilihan AJK adalah terbuka kepada sesiapa sahaja,” katanya.
TRW mencatatkan prestasi hambar musim ini dengan gagal memenangi sebarang piala termasuk tewas kepada pasukan bukan pilihan, Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2014 baru-baru ini.

