SEORANG gadis, Madhu telah dibunuh oleh keluarganya hanya kerana dia bercinta dengan seorang lelaki dari kelas bawahan dan enggan mengikut arahan mereka supaya memutuskan hubungan terlarang itu.
Selepas dibunuh, mayat graduan universiti berusia 21 tahun itu telah dikebumikan dengan segera, bagi mengelakkan penduduk kampung di Nanjangud, India, menghidu perbuatan jenayah berkenaan.
Namun percubaan keluarga itu untuk menutup perkara berkenaan tidak berjaya kerana jiran mereka berjaya menghidu sesuatu yang tidak kena, apatah lagi urusan pengebumian diadakan dengan tergesa-gesa.
Jiran Madhu kemudiannya melaporkan kepada polis dan kini keluarganya telah ditangkap manakala pasukan forensik pula telah menjalankan siasatan ke atas mayat Madhu.
Kejadian mengejutkan ini berlaku sebulan selepas seorang wanita menggantung diri setelah keluarganya dihukum oleh jawatankuasa kampung hanya disebabkan dia bercinta dengan lelaki kelas bawahan.
Wanita berusia 24 tahun itu mengambil keputusan berkenaan selepas penduduk berkumpul di luar rumahnya di Madhya Pradesh. Wanita itu didapati bersalah kerana jatuh cinta dengan lelaki terbabit.
Jawatankuasa berkenaan sebelum itu telah memutuskan keluarga wanita terbabit diboikot manakala wanita itu sendiri didenda dan dipaksa menyucikan dosanya di kuil. – MYNEWSHUB.CC

