KANGAR – Perlis merekodkan sebanyak 67 kes demam denggi dari Januari hingga 19 Mac lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Jafperi Othman.
Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak 93 kes, katanya semasa menjawab soalan lisan Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata lima dari 22 mukim di Perlis dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi ancaman penyakit itu iaitu Kuala Perlis, Beseri, Sanglang, Utan Aji dan Titi Tinggi.
“Kejadian kes denggi yang menurun adalah hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri selain mendapat kerjasama badan-badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan komuniti setempat,” tambahnya.
Jafperi berkata sehingga 19 Mac lepas sebanyak 10 sesi penerangan mengenai denggi membabitkan masyarakat termasuk di institusi-institusi pendidikan, jabatan kerajaan dan swasta diadakan.
Selain itu sebanyak 8,978 risalah diedar dan 5,745 aktiviti perbincangan dalam kumpulan-kumpulan kecil dan gotong royong diadakan dalam tempoh sama, tambahnya. – BERNAMA

