KUALA LUMPUR – “Negara hanya akan hancur dengan pemimpin bodoh yang turut mahu rakyat diperbodohkan.”
Itu kenyataan yang sebenarnya bodoh oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Sany Hamzan kerana secara tiba-tiba menyalahkan pemimpin negara dalam isu larangan ceramah penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik di Melaka.
Pihak polis yang melarang ceramah Zakir di Melaka kerana tajuknya boleh menjejaskan ketenteraman awam, tetapi tidak melarang ceramahnya di Terengganu baru-baru ini.
Namun Ketua Pemuda PAN itu dengan bodohnya cuba mengaitkan perkara itu dengan politik untuk memburuk-burukkan pemimpin negara.
“PAN teguh mempertahankan kebebasan intelek sebagai elemen teras pembinaan masa depan negara.
“Negara tidak akan mundur dengan rakyat yang dibijakkan. Negara hanya akan hancur dengan pemimpin bodoh yang turut mahu rakyat diperbodohkan,” dakwanya dalam satu kenyataan media yang tidak berasas hari ini.
Sany dalam pada itu mendakwa ceramah bertajuk agama Islam dan Hindu yang diberikan oleh pihak penganjur kepada Zakir perlu diteruskan atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan intelek.
Dakwanya, perkara itu tidak akan menjejaskan ketenteraman awam kerana sikap inkuiri yang tertanam dalam jiwa generasi muda mampu disuburkan berteraskan ilmu dan hujah.
Malah, beliau dengan biadap mendakwa pendirian pihak polis demi menjaga ketenteraman awam dan sensitiviti agama tidak menganjak kemajuan pemikiran rakyat sebaliknya menarik rakyat ke zon pembodohan. – MYNEWSHUB.CC