KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 19 bot nelayan asing dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding 36 bagi tempoh sama tahun lepas.
Pengarah APMM Terengganu Kapten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata penurunan itu boleh dikaitkan dengan faktor cuaca dan laut bergelora pada tahun ini.
“Tahun ini cuaca dan laut bergelora agak panjang sehingga Mac dan operasi kita mula dilaksanakan pada penghujung Mac, berbeza dengan 2015, apabila ia digerakkan seawal Februari lagi,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya pada Mac tahun ini sebanyak 15 bot nelayan asing telah ditahan manakala sehingga 6 April lepas, empat tangkapan direkodkan.
Zainolabidin berkata, bagi 2015, sebanyak 17 kes dicatatkan pada Feb dan masing-masing sembilan dan 10 pada Mac dan April.
Beliau berkata pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan tangkapan bagi memastikan perairan negara tidak terus diceroboh nelayan asing.
“Operasi dan tangkapan akan terus dipertingkatkan terutamanya pada musim mencandat sotong kerana nelayan asing turut mengambil kesempatan mencuri hasil negara,”katanya. – BERNAMA

