MUAR – Ketika ada pihak melihat UMNO Bahagian Pagoh yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin konon sebagai pemberontak, tidak ramai sedar ada juga dalam kalangan ahli di bahagian itu bukan sebagaimana dijangkakan.
Pada Khamis, sekumpulan anggota UMNO Bahagian Pagoh tampil menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan pengerusi BN.
Gerakan yang dikenali sebagai Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh (KBUP) itu dibentuk khusus baru-baru ini bagi memastikan ahli-ahli UMNO bahagian tersebut sentiasa bersama-sama dengan arus perdana UMNO Pusat.
Ia juga sebagai cara untuk memperkukuhkan perjuangan parti dalam membela agama, bangsa dan tanah air, kata Pengerusi KBUP, Datuk Yusof A Bakar pada sidang media di pejabatnya di Taman Pagoh Jaya, di sini.
Beliau seterusnya berkata, gerakan itu ditubuhkan bagi memastikan UMNO Pagoh tidak terasing atau bersendirian dalam soal membela masyarakat tempatan serta pengundi di kawasan Pagoh khasnya penyokong tegar BN.
“Bukan kami tidak sayang kepada Muhyiddin (bekas timbalan perdana menteri dan mantan timbalan presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh) tetapi kami lebih sayangkan parti UMNO,” tegas beliau lagi.

Yusof, yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Batu 7 Bukit Pasir, menegaskan pemimpin dalam UMNO sentiasa datang dan pergi, namun UMNO tetap wujud sepanjang masa menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
Pihaknya terkilan kecewa apabila Muhyiddin tergamak bersekongkol dengan DAP menerusi deklarasi anjuran Tun Mahathir Mohamad dan atas dasar itu, KBUP membuat pendirian agar perpaduan dalam UMNO terus terpelihara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KBUP, Datuk Zaaba Aman, yang juga Ketua UMNO Cawangan Seri Ledang Utara, berkata KBUP akan menggerakkan usaha dari semasa ke semasa berjumpa dengan masyarakat Pagoh.
Ini bagi memberikan penjelasan secara harmoni supaya mereka mendapat maklumat yang betul dan bukan khabar jahat berbaur fitnah disebarkan oleh pihak tidak bertanggung jawab khasnya media propembangkang.
Ujar Zaaba, KBUP tidak boleh menerima tindakan terdesak Muhyiddin ‘bersahabat’ dengan pembangkang dalam mengeluarkan ‘Deklarasi Mahathir’ yang jelas memang bertujuan menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

