PENYANYI terkenal Mariah Carey dinasihatkan untuk tidak meneruskan konsertnya yang bakal diadakan di Brussels, Belgium dan dijadualkan berlangsung Ahad ini.
Ini gara-gara serangan bom di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Zaventam pagi Selasa yang telah mengorbankan lebih 30 orang awam dan puluhan lain cedera.
Mariah bakal mengadakan konsert untuk peminatnya di negara Eropah itu sekali gus meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-46 tahun.
Memetik laporan TMZ, pihak pengurusan Mariah melarang diva popular itu daripada meneruskan rancangan konsert istimewa tersebut.
Ia berikutan timbul kekhuatiran dengan kemungkinan besar akan berlaku serangan pengganas untuk kali kedua di lokasi yang sama.
Namun sehingga kini, difahamkan Mariah masih akan meneruskan konsert dan tidak berhasrat akan membatalkannya.
Sementara pihak pengurusannya masih menunggu kebenaran dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Belgium sama ada selamat atau tidak keadaan di sana untuk mereka meneruskan konsert tersebut. – MYNEWSHUB.CC

