ASTANA (Kazakhstan) – Cendekiawan selalu berkata kalau mahu melihat masa hadapan sebuah negara, lihatlah kepada anak mudanya.
Itu adalah kata-kata yang tepat untuk kita gunakan bagi meramal kemajuan yang bakal ditempa sesebuah negara dengan mengukur dan menilai cara kehidupan serta pemikiran anak muda negara berkenaan.
Kazakhstan, negara terakhir yang mencapai kemerdekaan pada 16 Disember, 1991 selepas pembubaran Kesatuan Soviet boleh dianggap sebagai sebuah negara yang masih setahun jagung usianya berbanding negara lain yang sudah mencapai kemerdekaan yang lebih lama.
Kalau diumpamakan Kazakhstan sebagai seorang anak muda, umur 25 tahun itu adalah waktu yang sesuai untuk mula berdikari dan berfikir secara matang dengan memiliki sekurang-kurangnya segulung ijazah untuk mencari pekerjaan.
Kunjungan singkat selama dua hari ke Astana, Kazakhstan pada akhir Februari lepas memberi pengalaman kepada penulis mengenai pembangunan dan kemajuan yang boleh dianggap sesuatu yang luar biasa dicapai dalam tempoh hampir 25 tahun itu.
ASPIRASI ORANG MUDA KAZAKHSTAN
Berkenalan dengan Dawuren Murzabekov, 28, jurualih bahasa kepada penulis ketika membuat liputan sempena Mesyuarat Peserta Antarabangsa Kedua untuk EXPO 2017 di wilayah pentadbiran, Astana, sedikit sebanyak berkongsi aspirasi golongan muda untuk pembangunan negara ini.
Kazakhstan telah banyak berubah dalam tempoh 20 tahun ini terutamanya di Astana ketika pentadbiran Presiden Nursultan Nazarbayev yang bermula sejak tahun 1989.
Astana adalah pusat pentadbiran baharu menggantikan Almaty sejak 1997 dan kini rancak dengan projek pembangunan dan dikelilingi dengan pelbagai struktur bangunan yang megah, moden dan mewah.
“Nazarbayev mempunyai pemikiran yang tajam dan hebat, dia adalah antara pemimpin yang terhebat yang pernah rakyat Kazakhstan miliki,” katanya kepada Bernama.
Pemuda, yang memiliki PhD dalam jurusan pengajian sosial dari Universiti Pittsburgh, Amerika Syarikat, itu yakin aspirasi yang dibawa oleh pemimpin negaranya telah memotivasikan golongan muda untuk berjaya dan bersama membangunkan negara.
“Beberapa inisiatif turut diberikan oleh Nazarbayev untuk anak muda cemerlang dalam pendidikan termasuk biasiswa kepada pelajar pintar melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di luar negara dan kemudian kembali semula untuk berbakti di tanah air,” katanya.
Malah beliau sendiri adalah bekas pekerja di syarikat antarabangsa, Procter & Gamble dan kini berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan di Kementerian Luar Negeri untuk menabur bakti.
WANITA DAN KESAKSAMAAN GENDER
Ketika lawatan ke tapak pembangunan pavillion, Expo 2017 yang bakal diadakan selama tiga bulan bermula Jun tahun hadapan, penulis juga berkesempatan berjumpa dengan arkitek jelitawan, Zaure Aitayeva, 33 tahun.
Beliau ialah Pengurus Kanan Expo 2017, seorang rakyat tempatan yang menyumbang kepada pembinaan projek mega itu di kawasan seluas 25 hektar yang turut melibatkan 49 syarikat asing yang lain.
“Kazakhstan kini mengalami proses pembangunan yang begitu pesat berbanding sebelum ini, dan kami gembira kepakaran kami digunakan untuk projek besar sebegini,” katanya.
Aitayeva yang memiliki ijazah dalam bidang arkitek dari universiti tempatan bersyukur dengan keterbukaan negara mereka dalam memberi peluang kepada kaum wanita untuk terlibat dalam projek berimpak tinggi itu.
“Malah dalam kalangan pasukan kami juga, kami mempunyai bilangan pekerja wanita yang hampir sama dengan kaum lelaki,” katanya.
NAZARBAYEV, KEPIMPINAN YANG DIHORMATI ANAK MUDA
Di Astana, penulis sempat dibawa melawat Library of President yang dibina khas untuk menempatkan deretan buku-buku, ucapan, gambar kenangan dan koleksi hadiah yang diterima dari para pemimpin dan tokoh negara luar kepada Nazarbayev.
Melalui penjelasan yang diberikan, pemimpin tersebut turut memberikan sentuhan seninya kepada penggubahan lagu kebangsaan Kazakhstan, ‘My Kazakhstan’, sesuatu yang semestinya memberi tarikan sentimental kepada beliau dan rakyatnya.
Murzabekov berkata walaupun ada sesetengah golongan mengkritik Nazarbayev kerana memegang tampuk pemerintahan yang sangat panjang, ia tidak menjadi masalah kepada beliau asalkan apa yang dibawa oleh pemimpin itu adalah baik untuk rakyatnya.
“Mereka mengkritik, tetapi tidak memberikan pilihan atau rancangan setanding dibuat oleh Nazarbayev sebab itu majoriti rakyat selesa dengan apa yang telah diberikan oleh beliau,” katanya.
HARAPAN UNTUK MASA HADAPAN KAZAKHSTAN
Namun begitu, Murzabekov berkata tidak akan ada pemimpin yang akan betul-betul sempurna di dunia ini, termasuk Nazarbayev.
“Tetapi apa yang dilakukan beliau amat dihargai oleh rakyat negara ini termasuk menarik pelbagai pelaburan asing,” katanya.
Namun begitu, penambahbaikan perlu dilakukan dalam meningkatkan hubungan dari segi pengangkutan di antara semua wilayah negara kesembilan terbesar di dunia itu terutamanya kawasan pedalaman.
“Ini secara langsung akan membantu semua rakyat merasai pembangunan yang dirancang oleh kerajaan,” katanya yang turut memuji dasar pemimpin itu yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Kazakhstan untuk pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional.
“Malah tidak dinafikan sumbangan Nazarbayev, yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan telah berjaya ‘merekacipta’ Kazakhstan yang baharu dan dikenali dunia termasuk penganjuran EXPO 2017 yang akan datang,” katanya.
Bertemakan, ‘Tenaga Masa Depan’ ekspo antarabangsa itu telah mendapat komitmen dan persetujuan dari lebih 70 negara dan organisasi termasuk Malaysia untuk menyertainya setakat ini.
Pihak kerajaan Kazakhstan yakin jumlah penyertaan akan menjangkau sebanyak lebih 100 buah negara dan organisasi antarabangsa menjelang penganjurannya tahun hadapan. – BERNAMA

