GEORGE TOWN – Mayat seorang wanita warga emas yang dipercayai mati sejak dua hari lepas ditemui di dalam rumahnya di Lorong Hijau 6, Jalan Sir Ibrahim di sini kira-kira 9.50 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata mayat Lim Saw Hoon, 77, ditemui di ruang makan rumah itu selepas polis membuat pemeriksaan ekoran laporan jiran yang tidak tahan menghidu bau busuk dari kediaman warga emas berkenaan.
“Menurut jiran mangsa, wanita itu tinggal sendirian di rumah teres setingkat berkenaan dan tidak bertegur sapa dengan penduduk di situ. Rumahnya dipenuhi sampah dan dia turut memelihara lebih 20 ekor kucing,” katanya di sini, hari ini.
Berdasarkan keadaan mayat, wanita itu dipercayai mati sejak dua hari lepas, katanya.
Beliau berkata pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan hasil laporan bedah siasat mendapati wanita itu mati disebabkan sakit jantung,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa yang hanya mahu dikenali Poh Sim, 45, berkata penduduk di situ terhidu bau busuk sejak malam tadi sebelum mereka cuba mencari punca bau berkenaan hari ini dan menghubungi polis pagi ini selepas mendapati bau itu datang dari rumah warga emas terbabit.
Katanya wanita warga emas itu dikenali sebagai Doreen di kalangan penduduk di situ, bagaimanapun dia kurang bergaul dengan mereka dan jarang keluar dari rumahnya serta mempunyai banyak kucing peliharaan.
“Sebelum ini dia tinggal bersama adik perempuannya yang mati enam tahun lepas, jadi sekarang mak cik Doreen tinggal sendirian. Kadang-kadang nampak dia keluar menyiram pokok di laman rumahnya, cuma sejak tiga hari lepas, pintu depan rumahnya tertutup rapat dan pagar turut berkunci.
“Kami ingat dia ada di mana tetapi sejak semalam penduduk di sini hidu bau busuk. Sebelum pagi ini, bau itu lagi kuat dan datang dari rumah mangsa. Seorang lagi jiran terus hubungi polis kerana bimbang sesuatu terjadi kepada mak cik Doreen,” katanya. – BERNAMA

