GEORGE TOWN – Pulau Pinang masih belum mencapai tahap risiko krisis air atau zon bahaya berikutan cuaca panas sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata kapasiti efektif empangan buat masa ini mencukupi untuk bertahan sehingga hujan pada bulan depan.
Katanya walaupun paras air menurun disebabkan taburan hujan yang agak kurang sejak 30 hari lalu di negeri ini, namun PBAPP masih mampu untuk mengeluarkan kira-kira satu bilion liter air setiap hari daripada Sungai Air Muda bagi rawatan di Loji Rawatan Air Sungai Dua.
“Kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada tahap 75.7 peratus. Empangan ini mempunyai air yang mencukupi untuk bertahan sehingga 74 hari bekalan air tanpa hujan.
“Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang adalah 72.3 peratus, dan mencukupi untuk bertahan selama 220 hari tanpa hujan. Paras air Sungai Muda adalah pada tahap 2.41 meter,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jaseni berkata PBAPP akan dapat menyediakan bekalan air yang baik dan berterusan di seluruh negeri sehingga hujan pada bulan April.
Beliau berkata sejak suku keempat tahun 2015, PBAPP telah melaksanakan program bagi mengelak catuan air ketika musim Super El Nino termasuk mengoptimumkan simpanan empangan Pulau Pinang dengan pengambilan air sekurang yang mungkin bagi membolehkan empangan mempunyai simpanan air yang lebih untuk jangka masa lebih lama terutama ketika musim panas dan kering.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut meningkatkan pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Dua, untuk menghasilkan lebih banyak air terawat setiap hari.
“Sejak tahun 2015, loji ini menghasilkan lebih kurang 900 juta liter air terawat setiap hari untuk memenuhi keperluan harian bekalan air di Pulau Pinang,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua penduduk Pulau Pinang berjimat dengan penggunaan air, mengelakkan penggunaan hos sebolehmungkin bagi aktiviti pembersihan, dan mengurangkan kekerapan membasuh kereta dan motosikal. – BERNAMA

