Dua anggota polis dan tiga penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan rasuah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di atas kesalahan meminta dan menerima suapan.
Tiga penguatkuasa DBKL itu Mohd Nasir Danuri, 45, Mohamad Rezuan Chan, 41, dan Ja’afar Ibrahim, 57, didakwa bersama dengan kesalahan meminta rasuah secara tunai RM2,000 dan RM500 pada 22 Oktober 2012 daripada pemilik Restoran Suria Teh Tarik.
[BACA – Penguasa Kastam, Ahli Perniagaan Dituduh Rasuah Seludup Arak]
Pemilik, Chew Hian Tat diminta menyerahkan rasuah itu kerana tidak memiliki lesen premis perniagaan yang sah.
Selain itu, dalam pertuduhan lain Mohd Nasir dan Mohamad Rezuan didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,000 daripda pemilik restoran yang sama pada 24 Oktober tahun yang sama.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 13 November depan.
Manakala anggota polis Sarjan Shaharuddin Abd Shukar, 54, dituduh melakukan kesalahan memperoleh wang rasuah RM300 dari seorang individu Harcharanjit Singh sebagai dorongan untuk memastikan siasatan tidak dijalankan bagi satu laporan polis yang dibuat pada 1 November tahun lepas.
Kesalahan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Shaharuddin juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan Rosbiahanin membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 14 November depan.
Di mahkamah berlainan, anggota polis Lans Koperal Muhammad Nazruldin Chee Chau Vui, 34, didakwa menerima wang rasuah tunai RM800 bagi melindungi kegiatan haram penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan Lanny Ong Boon Hsien pada 4 Jun tahun lepas di restoran McDonald;s Taman Connaught.
Dia juga mengaku tidak bersalah.
Hakim Alaudin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Nov ini.
Jika didapati bersalah, kelima-lima tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. – MYNEWSHUB

