KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas 381 jersi ragbi tiruan jenama Asics bernilai RM15,240 dalam Ops Barangan Tiruan di empat premis di Arked Niaga Padang Besar di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Jamal Nor Ahmad Harun berkata operasi empat jam bermula 12.30 tengah hari itu, dijalankan berikutan aduan daripada pemilik syarikat cap dagangan, Asics Corporation yang mendapati ada pihak lain menjual jersi menggunakan jenama syarikat berkenaan.
“Ini kes pertama melibatkan hak intelektual mereka (syarikat Asics) sehingga difahamkan syarikat berkenaan turut mengalami kerugian,” katanya kepada pemberita di pejabat KPDNKK Perlis di sini.
Jamal Nor berkata, jersi tiruan berwarna putih, kuning dan hijau itu dijual pada harga lebih murah iaitu RM40 sehelai berbanding jersi asli keluaran Asics,berharga RM200.
Kesemua peniaga terbabit disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b)Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan melibatkan orang perseorangan, boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barangan dan penjara tiga tahun.
“Serbuan ke atas pemilik premis perniagaan yang menjual barangan tiruan akan dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan ini berleluasa demi menjaga kepentingan pengguna.
“Ia juga penting untuk melindungi pemilik paten barangan daripada hak cipta mereka dicuri atau dicetak rompak,” katanya. – BERNAMA
