TAIPING – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Taiping merampas 41 tong gas bersubsidi bernilai RM4,214 dalam serbuan Op Gasak di sebuah premis mencuci pakaian di kawasan Perindustrian Kamunting, dekat sini, hari ini.
Ketua cawangannya Mohamad Kamarol Mat Nor berkata dalam serbuan pada 11.50 pagi itu, pihaknya berjaya merampas kesemua tong gas seberat 12 kilogram (kg) hasil intipan ke atas pergerakan lori penghantaran gas ke kawasan perindustrian di kawasan berkenaan.
“Tong gas yang dirampas itu digunakan untuk menjana mesin pengering di kilang berkenaan.
“Sepatutnya kilang tidak boleh menggunakan tong gas bersubsidi itu dan mereka hendaklah menggunakan tong gas industri 50 kg untuk tujuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohamad Kamarol, dalam serbuan oleh sepasukan tujuh angggota PPDNKK, seorang penyelia berumur linkungan 40-an turut ditahan di premis itu dan telah dibebaskan setelah keterangannya diambil.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 Perkara 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen sah. – BERNAMA