KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud pelaksanaan Hudud di negeri itu tidak akan menjejaskan masyarakat bukan Islam satu penipuan.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menegaskan, pemimpin PAS Kelantan tersebut sedang cuba menipu golongan bukan Islam secara terang-terangan.
(Kelantan Akan Laksana Hudud : Nasaruddin Daud – Klik)
Justeru, katanya, Pemuda Gerakan akan membawa perkara tersebut ke mahkamah jika PAS benar-benar melaksanakan undang-undang Hudud di negeri itu.
“Apa akan berlaku jika jenayah dilakukan muslim dan bukan muslim. Undang-undang mana yang akan diguna pakai dalam kes tersebut?.
“Langkah PAS itu akan menyebabkan kewujudan dua set undang-undang jenayah dan mengundang kepada krisis Perlembagaan,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Keng Liang berkata, Pemuda Gerakan mengutuk keputusan kerajaan Kelantan tetap melaksanakan Hudud di negeri itu walaupun tidak dipersetujui oleh masyarakat bukan Islam.
Beliau mendesak parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berdiam berikutan pendirian PAS Kelantan tersebut.
“Kami mahu Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian mereka dalam hal ini sebelum terlambat,” katanya.
Media semalam melaporkan Kerajaan Kelantan tetap melaksanakan Hudud di negeri itu walaupun tidak dipersetujui oleh masyarakat bukan Islam.
Mohd Nasaruddin Daud dipetik berkata, pelaksanaan undang-undang berkenaan hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam di negeri itu. – mynewshub.cc

