KUALA LUMPUR – Kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) sama seperti kumpulan ekstrim lain yang bertindak secara membabi buta tanpa pengetahuan mendalam terhadap agama Islam.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Suhaizan Kayat menegaskan DPPM menolak perjuangan `jihad’ anjuran ISIL kerana Islam menganjurkan perdamaian dan bukan permusuhan.
“Islam mengutamakan permaafan daripada hukuman. Islam mendahului adab dan toleransi termasuk dalam peperangan berbanding sikap membabi buta.
“ISIL dalah suatu ancaman besar terhadap Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaizan melahirkan kebimbangan ISIL ancaman lebih berbahaya daripada ancaman musuh Islam kerana ISIL bertopengkan Islam kononnya atas syariat Islam.
Katanya, lebih membimbangkan jika ISIL merupakan agenda zionis Israel atau Amerika Syarikat membuat umat Islam berperang sesama sendiri dan memberi gambaran buruk terhadap pejuang Islam.
Menurutnya, DPPM berasa bimbang strategi ISIL merekrut anak-anak muda termasuk dari Malaysia yang jahil agama untuk menyertai mereka.
“Dengan umpan jihad dan ganjaran syahid serta syurga, segelintir rakyat Malaysia menyertai ISIL tanpa asas agama yang kukuh,” katanya.
Justeru, katanya, DPPM menawarkan bantuan kepada kerajaan untuk memberi kesedaran dan maklumat lengkap mengenai ISIL kepada rakyat negara ini. – mynewshub.cc

