GARA-GARA aduan jalan berlubang tidak diendahkan pihak bertanggungjawab, seorang lelaki dilihat membuat aksi luar biasa bagi meraih perhatian pihak berwajib.
Lelaki itu pula bukan calang-calang orang tetapi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.
Beliau baru-baru ini malahan bertindak memuat naik gambar dirinya sendiri berada di dalam lubang jalan tersebut dengan hanya berselipar Jepun.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu di Melaka berkongsi gambar tersebut melalui laman Facebooknya sendiri, Abu Bakar Mohammad Diah.
“4.40 petang Jalan Bukit Berlian, Bukit Rambai. Pejabat Daerah buat tak tahu setelah aduan dibuat. Inilah nasib Wakil Rakyat. Bila jalan berlubang. Kata Wakil Rakyat konon tak kerja.
“Bila buat aduan pihak berkenaan tak layan. Jadi saya duduk tengah jalan bergambar macam pelancong. Mari kita bergambar beramai-ramai. Cantik pemandangan di sini,” tulis Abu Bakar di status tersebut.

Setakat hari ini, posting terbabit yang dimuat naik pada Sabtu telah menerima lebih dua ribu ‘likes‘ dan lebih 300 perkongsian.
Namun inilah yang dikatakan ‘kuasa’ viral di media sosial, apabila posting tersebut membuatkan pihak di pejabat daerah Melaka Tengah segera melakukan kerja baik pulih pada keesokan harinya.

Kawasan itu terletak di bawah penyeliaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tangga Batu Kechil yang dipengerusikan oleh Mahadi Mohamad. – MYNEWSHUB.CC

