KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan supaya diwujudkan garis panduan berkaitan jenis barangan yang akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun hadapan.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata garis panduan itu perlu bagi memastikan peniaga dan syarikat terlibat dengan GST jelas dengan kesalahan yang boleh didakwa jika mereka menaikkan harga barang berkenaan.
“Kastam Diraja Malaysia (KDRM) perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya pendakwaan terhadap peniaga yang menaikkan harga dapat dijalankan dengan mudah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja PAC ke Pusat Pemprosesan MyGST, KDRM di sini.
Beliau berkata PAC turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Teknikal di peringkat Kastam khusus untuk menyelesaikan masalah jenis barangan yang akan dikenakan cukai.
Katanya, banyak kekeliruan mengenai jenis barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST timbul dan Kastam perlu mempercepatkan proses mengenal pasti barangan tersebut.
Menurut Nur Jazlan, PAC setakat ini berpuas hati dengan kesiapsiagaan sistem IT yang dikendalikan oleh kastam dan menunjukkan mereka bersedia untuk melaksanakan GST tahun hadapan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata sehingga semalam, sebanyak 88,471 syarikat telah mendaftar dengan GST dengan purata 2,500 syarikat mendaftar setiap hari.
“Daripada jumlah ini, hanya 500 syarikat sahaja yang mendaftar secara manual dan selebihnya mendaftar melaui laman web yang telah disediakan oleh Jabatan Kastam,” katanya.
Katanya, fokus utama Kastam ketika ini adalah untuk memastikan pendaftaran syarikat yang terlibat dengan GST adalah tinggi menjelang akhir tahun ini iaitu sebanyak 200,000 syarikat. – BERNAMA

