PUTRAJAYA – Setiap penjawat awam termasuk warga kerja Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) perlu memahami segala program transformasi yang dilaksanakan kerajaan agar matlamat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada 2020 tercapai.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemahaman jitu berkaitan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) adalah penting kerana melaluinya, semua perancangan dapat dijayakan dengan sempurna.
“Secara khususnya pula, warga kementerian juga perlu memahami Transformasi Membandarkan Luar Bandar yang telah dilancarkan supaya usaha melakukan perubahan dapat dilaksanakan dengan berjaya.
“Untuk itu, usaha membangunkan potensi penjawat awam yang dilakukan perlulah menepati hasrat kerajaan agar mereka menjadi ‘nukleus’ membangunkan organisasi demi maruah dan martabat masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih Sanjungan Budi KKLW 2015, di sini hari ini.
Majlis bagi meraikan 28 pesara kementerian itu, turut dihadiri timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Datuk Alexander Nanta Linggi serta Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Arif Ab Rahman.
Ismail Sabri turut menekankan kepentingan perkongsian pengetahuan dalam kalangan warga kementerian dengan pihak lain, kerana kaedah itu mampu menjadi pemangkin dalam menjayakan setiap visi, misi dan transformasi yang dirancang.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 29 Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif anak-anak syarikat di bawah kementerian berkenaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]-qQe7hIRmbg[/wpdevart_youtube]

