KUALA LUMPUR – Sebuah lagi muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dicadang dibuka di Klebang, Melaka untuk mempamer lebih banyak aset dan peralatan yang pernah digunakan TUDM, kata Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Roslan Saad.
Beliau berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk mewujudkan muzium itu.
“Muzium ini akan mempamerkan antaranya pesawat Lang Rajawali dan aset lain milik TUDM yang pernah digunakan dahulu.
“Ia masih diperingkat perbincangan dan belum dimuktamadkan. Muzium ini dilihat dapat memberi manfaat kepada Melaka yang sememangnya terkenal dengan destinasi pelancongan dan mempunyai banyak muzium,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Ulang Tahun Muzium TUDM Ke-30 dan Hari Terbuka Muzium TUDM, di sini Sabtu.
Beliau turut melancarkan syiling kenangan sempena ulang tahun Muzium TUDM.
Roslan juga berkata Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Jalan Sungai Besi akan dipindah ke lokasi baharu di ibu negara.
Pemindahan muzium itu perlu dilakukan kerana Pangkalan Udara TUDM Kuala Lumpur akan ditutup dan dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan tidak lama lagi, katanya.
Hari Terbuka Muzium TUDM akan diadakan selama dua hari bermula hari ini yang antara lain mempamer beberapa aset TUDM termasuk pesawat tempur MiG-29, F-18 Super Hornet dan Sukhoi SU-MKM30 serta pesawat Lang Rajawali (Twin Pioneer) yang merupakan antara pesawat pertama TUDM di awal penubuhannya lewat 50-an. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]c1J5thc2ts8[/wpdevart_youtube]

