TAWAU – Ibu bapa diingatkan supaya tidak mengabaikan pembelajaran al-Quran kepada anak-anak mereka dan pembelajaran kitab suci itu perlu bermula dari rumah, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat.
Hamisa berkata sekiranya ibu bapa mengambil mudah tanggungjawab mempelajari al-Quran, dikhuatiri ramai generasi akan datang tidak lagi tahu membaca kitab suci itu.
“Anak-anak perlu digalakkan supaya belajar al-Quran, ditanamkan di dalam diri sebagai panduan hidup. Kita mahu anak-anak kita menjadi orang yang berguna pada masa hadapan dan menjadi pelapis kepimpinan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Perbandaran Tawau di sini malam tadi.
Hamisa berkata generasi muda yang tidak dibekalkan dengan ilmu agama sempurna yang bersumberkan al-Quran dikhuatiri mudah terlibat dengan pelbagai masalah sosial termasuk gejala penagihan dadah.
Justeru, katanya, tilawah al-Quran yang dianjurkan saban tahun bukan sekadar mencari wakil qari dan qariah dalam sesuatu musabaqah, sebaliknya yang lebih penting adalah mengajak umat Islam menghayati dan seterusnya menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]IJGnm170_uI[/wpdevart_youtube]

