Oleh Mynewshub
KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang membabitkan universiti itu dan menyentuh isu berkaitan agama, kaum serta institusi diraja (3R) sehingga berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyebaran kandungan palsu atau berunsur kebencian, khususnya yang menyentuh sensitiviti 3R.
Menurut UMPSA, sentimen berkaitan agama, kaum dan institusi diraja tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu bertanggungjawab menjaga batasan serta sensitiviti dalam penggunaan media sosial.
“UMPSA sedang menjalankan siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan tatatertib universiti,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, sebarang kesalahan akan disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024.
Dalam masa sama, UMPSA turut mengingatkan seluruh warga universiti agar sentiasa mengamalkan sikap saling hormat-menghormati, kasih sayang dan bertanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat demi mengekalkan keharmonian negara.
“Warga UMPSA diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang kandungan di media sosial yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) kerana ia boleh mengundang implikasi serius terhadap keselamatan dan keharmonian negara,” tegas kenyataan itu lagi.-MYNEWSHUB
Kenyataan media tersebut dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UMPSA bertarikh 25 Februari 2026.


