KUALA LUMPUR: Structura Design Challenge 2014 yang julung kali dianjurkan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dilihat mampu memberi peluang serta pendedahan awal kepada pelajar jurusan seni bina dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) mengenai dunia seni bina negara yang bakal diceburi mereka kelak.
Menurut salah seorang peserta, Tengku Amirah Tengku Johari, 20, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) penyertaannya kali ini adalah untuk memanfaatkan peluang yang jarang sekali hadir ini selain mempelajari selok-belok dunia seni bina selain daripada pengajian secara teori sahaja.
“Saya dan ahli kumpulan yang lain sangat teruja dengan pertandingan ini dan kami akan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan bagi mengharumkan nama universiti,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada Majlis Pelancaran Structura Design Challenge 2014, di sini, hari ini.
Selain Tengku Amirah, ahli kumpulan yang mewakili UIAM ialah Muhammad Azmeer, Zaidatul Nawal, Haziq Shane dan Syed Najib.
Sementara itu, bagi penuntut tahun akhir jurusan Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia Skudai (UTM), Muhammad Hafiz Khamis, 23, hadiah kemenangan yang ingin direbutnya ialah peluang ditawarkan sebagai pelatih dan ditempatkan bersama pasukan projek UDA menjadi dambaannya kerana ingin menimba ilmu yang lebih mendalam mengenai warisan seni bina negara.
“Bagi saya penyertaan dalam pertandingan ini merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai dan saya serta rakan sepasukan yang lain sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik agar rekaan kami berjaya mencuri hati para juri yang menilai,” katanya.
Selain Hafiz, ahli kumpulan yang mewakili UTM Skudai ialah Azmeer, Hamdi, Alvin dan Lim Jia Xin yang kesemuanya merupakan pelajar tahun akhir di univesiti terbabit. – MYNEWSHUB
Oleh: JULIANA JOHAR




