REMBAU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mencuri perhatian apabila sempat menunjukkan kemahiran bermain snooker ketika menghadiri program bersama belia di Rembau, Negeri Sembilan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Tok Mat memaklumkan beliau terlebih dahulu singgah ke gelanggang sepak takraw di Taman Angsamas bagi menyaksikan pertandingan yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Taman Angsamas dan kawasan sekitar.
Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Taman Bandar Ekar Rantau untuk menghadiri pertandingan snooker tertutup anjuran Pemuda UMNO Cawangan Ulu Lalang yang disertai lebih 70 orang pemuda.
“Petang ini (semalam) sempat singgah di gelanggang takraw Taman Angsamas sebelum ke Taman Bandar Ekar Rantau menyaksikan pertandingan snooker tertutup. Tahniah kepada semua jawatankuasa yang menjayakan program ini,” katanya.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji gaya santai Tok Mat ketika bermain snooker.
Seorang pengguna Facebook, Tun Izhalmi berkata, “Santai-santai je Tok Mat sambil susun strategi PRN Negeri Sembilan.”
Seorang lagi, Lan Ok menyifatkan cara Tok Mat memegang kayu snooker kelihatan seperti pemain berpengalaman.
“Cara Dato’ Seri pegang cue tu nampak pro lah,” tulisnya.
Turut meninggalkan komen ialah Azman Tok Man yang berkata, “Steady Tok Mat,”
Manakala Din Belia memuji pendekatan Tok Mat yang disifatkan dekat dengan golongan belia melalui aktiviti sukan. – MYNEWSHUB


