SEREMBAN – Kira-kira 3,000 pegawai penguatkuasa dan pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di seluruh Negeri Sembilan untuk menjalankan pemeriksaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Awam Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza berkata pemeriksaan akan dijalankan sepanjang tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina bermula semalam hingga 14 Feb.
“Sebanyak 12 barangan harga terkawal iaitu ayam, telur ayam, sayuran, barangan kering, hasil laut dan daging babi. Sejak operasi dijalankan semalam sehingga hari ini, sebanyak 100 premis telah diperiksa dan setakat ini belum ada lagi tindakan diambil,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pemantauan harga di Tesco Extra Seremban 2 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah KPDNKK negeri Mohd Salleh Ma’amor.
Katanya tujuan pemantauan dibuat bagi memastikan peniaga tidak mengenakan harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.
“Peniaga juga perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.
“Bagaimanapun, peniaga digalakkan menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga diperoleh lebih rendah,” katanya.
Abu Ubaidah berkata peniaga akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Saifulbahri Abdul Kadir berkata pegawai penguatkuasa akan berada dilokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan.
“Orang ramai boleh salurkan aduan di talian 03-80008000 atau sms ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN .
“Tindakan akan diambil dalam tempoh dua jam,” katanya. – BERNAMA

