KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan syarikat itu tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa asing berhubung pelanggaran undang-undang oleh firma tersebut di luar negara.
1MDB dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, syarikat itu terus komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana berkuasa dan penyiasatan yang sah tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa dalam negara berdasarkan protokol antarabangsa.
“1MDB tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa undang-undang asing ke atas apa-apa perkara yang berkaitan dengan syarikat.
“1MDB terus komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana berkuasa dan penyiasatan yang sah tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa yang sah dalam negara dan mengikut protokol antarabangsa yang mengawal perkara itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Media propembangkang tempatan hari ini memetik laporan media asing yang sering `menyerang’ kepentingan kerajaan Malaysia, Wall Street Journal kononnya pihak berkuasa Switzerland telah meminta bantuan kerajaan Malaysia berhubung siasatan negara itu ke atas syarikat 1MDB.
Pejabat Peguam Negara Switzerland Michael Lauber kononnya berkata, permintaan itu mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu yang berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, dakwaan salah laku di pejabat awam, dakwaan pengubahan wang haram dan dakwaan jenayah salah urus di 1MDB.
Jumlah yang didakwa diseleweng itu dilaporkan sekitar AS$4 bilion (RM16.6 bilion). – mynewshub.cc

