KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama empat hari bermula 22 hingga 25 Jan ini, sempena perayaan Thaipusam.
KTM Berhad dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatan tren tanpa henti itu melibatkan 953 perkhidmatan tambahan dengan kekerapan yang membabitkan laluan antara Batu Caves ke Seremban dan laluan Rawang ke Pelabuhan Klang.
Menurut kenyataan itu, KTM Komuter akan melanjutkan waktu operasinya selepas waktu perkhidmatan sedia ada dengan menyediakan tren tambahan antara pukul 12 tengah malam hingga 5.30 pagi, dengan kekerapan pada setiap sejam pada 22 dan 23 Jan.
Manakala pada 24 dan 25 Jan kekerapan tren dipertingkatkan lagi kepada setiap 20 minit, menurut kenyataan itu.
“Perkhidmatan ini disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khasnya kepada yang beragama Hindu serta pelancong untuk berkunjung ke Batu Caves semasa perayaan berlangsung,” katanya.
Pada tahun ini, buat julung kalinya KTM Berhad juga akan menambah 48 perkhidmatan tren KTM Komuter pada 22 sehingga 24 Jan bagi tiga laluannya di sektor utara yang melibatkan laluan Kamunting, Gurun dan Padang Besar ke Butterworth.
Orang ramai dinasihatkan untuk membeli tiket dua hala bagi mengelakkan kesesakan di kaunter tiket semasa waktu pulang. – BERNAMA

