KEPALA BATAS – Polis menahan empat lelaki warga Vietnam dipercayai anggota ‘Geng Vietnam’ yang terlibat dalam beberapa kes pecah kedai dalam satu operasi di Butterworth, di sini semalam.
Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah stor di kedai serbaneka di Jalan Ong Yi How kira-kira pukul 4 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata seorang daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah selain pernah ditahan dan dihantar pulang ke negara asal.
“Hasil operasi, kami menemukan semula pelbagai barang dipercayai hasil rompakan antaranya 34 bungkus duit syiling berjumlah RM680, rokok pelbagai jenama dan telefon bimbit pelbagai jenama.
“Turut dirampas pelbagai peralatan pecah rumah antaranya pemotong dawai, kuku kambing, playar dan mesin pemotong besi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Berikutan penahanan empat lelaki itu, Azmi berkata pihaknya percaya dapat menyelesaikan enam kes pecah kedai yang dilaporkan di daerah itu sejak Disember tahun lepas membabitkan kerugian RM3,000.
Azmi berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam dua kes samun di Bertam Perdana.
Katanya lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Lahar Tiang, pukul 6.45 pagi tadi.
“Kami menemukan pelbagai barang dipercayai hasil samun seperti beg tangan, dompet, dokumen pengenalan, lesen memandu dan kad ATM,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]8CtaPEU4kcw[/wpdevart_youtube]
