SLIM RIVER – Jumlah kedatangan murid ke sekolah di Perak semakin meningkat hasil pelaksanaan program 3S (Senyum, Sapa dan Salam) sejak tiga tahun lepas.
Pengarah Pendidikan Perak, Rozi Puteh Ismail berkata kedatangan murid sekolah menengah pada 2014 adalah 91 peratus dan sekolah rendah pula 92 peratus, namun peratusannya meningkat tahun lepas dengan 92 peratus kedatangan murid sekolah menengah dan 93 peratus bagi murid sekolah rendah.
“Sejak pendekatan ini digunakan, saya lihat peratusan murid yang datang ke sekolah bertambah dari tahun ke tahun.
“Bagi tahun ini Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyasarkan 95 peratus bagi kedatangan murid ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 3S di Sekolah Menengah Kebangsaan Slim di sini hari ini.
Beliau berkata program 3S adalah satu daripada program yang menggalakkan pelajar dan guru menjadikan tabiat itu sebagai amalan harian.
“Pengurusan sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila adanya sifat kasih sayang antara guru dan murid…tidak buang masa mengendalikan masalah seperti disiplin kerana amalan senyum itu dapat menghindarkan berlakunya pergaduhan,” katanya.
Mengenai tindakan JPN bagi menangani fenomena El Nino, Rozi berkata pihaknya akan mengikut pekeliling sedia ada.
“Sekiranya cuaca sangat panas, kita memberi kuasa kepada pengetua dan mereka akan mengikut SOP (prosedur operasi standard)…mungkin menjalankan sesi pembelajaran di tempat teduh seperti dewan dan sebagainya,” katanya.
Setakat ini, JPN tidak menerima laporan mengenai perkara itu dan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa, katanya.
Menjelas lanjut mengenai penubuhan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di daerah Mu’alim, beliau berkata JPN sedang memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan pejabat berkenaan.
“Kebiasaannya setiap daerah mempunyai PPD. Kita telah memohon kepada kementerian selepas Tanjung Malim diisytihar menjadi daerah baharu,” katanya sambil menambah daerah Mu’alim mempunyai 37 sekolah iaitu tujuh sekolah menengah dan 30 sekolah rendah. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]qZRzkzJnPE4[/wpdevart_youtube]

