JAKARTA – Seorang anggota Pasukan Pengamanan Presiden (Paspampres) ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Kualanamu di Medan, wilayah Sumatera Utara pada Isnin.
Akhbar-akhbar tempatan memetik jurucakap polis lapangan terbang itu, Wisnu Budi sebagai berkata, polis menemui dadah seberat 0.38 gram di dalam topi yang dipakai anggota Paspampres itu.
Katanya, pada kejadian lewat petang itu, pasukan pengawal keselamatan lapangan terbang mengesan dadah yang disembunyikan di dalam topi tersebut ketika lelaki terbabit memasuki ruang pemeriksaan imbasan.
Siasatan awal pihak polis mendapati bahawa anggota lelaki Paspampres itu dalam perjalanan persendirian dari Medan ke Jakarta, kata Wisnu.
Suspek bertugas dalam pasukan Unit Trafik Pengiring Presiden, Batalion Pengawalan Protokol Negara kini ditahan untuk siasatan lanjut di Balai Polis Militer Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat di Medan. – BERNAMA

