LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut menahan sebuah kapal dagang kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Selat Dinding kira-kira 2.9 batu nautika barat daya Bandar Lumut di sini, semalam.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Kapten Zulinda Ramly berkata kapal MV Dong Fu itu dikesan oleh sebuah bot laju Maritim Malaysia yang melakukan rondaan kira-kira pukul 6.36 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut yang didaftarkan di China gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zulinda berkata kapal itu mempunyai 13 kru lelaki dengan 11 daripadanya adalah warganegara China berumur 30 hingga 51 tahun manakala dua lagi masing-masing seorang rakyat Bangladesh, 36, dan Indonesia, 30.
“Kesemua kru dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia DM3 Lumut untuk membantu siasatan,” katanya dan menambah kes bersauh tanpa kebenaran itu adalah yang kedua sejak 2015.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar MSO 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun. – BERNAMA

