KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pro-Pakatan Harapan mahu semua isu membabitkan agama Islam dengan agama lain di negara ini diuruskan oleh Mahkamah Sivil tanpa campur Mahkamah Syariah demi menjamin hak kebebasan beragama rakyat Malaysia.
Pertubuhan Teoh Beng Hock Trust for Democracy (TBH) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dalam satu kenyataan berkata, isu antara agama tidak boleh diuruskan oleh Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Sivil adalah tulang belakang kepada sistem kehakiman Malaysia.
“Mahkamah Sivil adalah tulang belakang sistem kehakiman Malaysia dan peranannya jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Syariah pula hanya ditubuhkan dibawah perundangan negeri,” kata kenyataan itu hari ini.
TBH dan KLSCAH membuat kenyataan itu bagi membantah keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan status agama Islam tiga anak Muhammad Riduan Abdullah.
Muhammad Riduan membawa ketiga-tiga anaknya itu memeluk Islam sewaktu mereka berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan pada tahun 2009 tetapi dibantah bekas isterinya, M.Indira Gandhi yang bertindak membawa kes itu ke mahkamah.
Mahkamah Rayuan pada 5 Januari lalu pula memutuskan sama ada seseorang itu Islam atau tidak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk menentukannya sekali gus mengesahkan status agama Islam kanak-kanak terbabit.
TBH dan KLSCAH yang tidak berpuas hati dengan penghakiman itu berkata, keengganan Mahkamah Rayuan menyemak semula kes berkenaan merendahkan dan mengabaikan jaminan kebebasan beragama di bawah seksyen 11 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia mengancam kebebasan beragama bukan muslim dan merosakkan prinsip kesaksamaan semua rakyat,” kata pertubuhan yang berkempen untuk Pakatan Harapan tersebut.
Justeru, TBH dan KLSCAH menyeru ahli politik di Malaysia terutama daripada Pakatan Harapan mengemukakan usul untuk meminda seksyen 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat.
“Ia bagi menyatakan dengan jelas bahawa semua kontroversi agama antara muslim dan bukan muslim mesti diuruskan oleh Mahkamah Sivil. Dengan ini boleh mempertahankan sistem demokrasi dan kedudukan sekular,” kata kenyataan itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini memberi jaminan hak rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan dilaksanakan dan dipelihara jika Pakatan Harapan dipilih oleh rakyat untuk memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]6Ji8p4mPCTA[/wpdevart_youtube]

