• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Friday, May 29, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Kerjasama UMNO-PAS Kukuhkan Kedudukan Kedua-Dua Parti

oleh Ahmad Albab
07/01/2016
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan PAS, tidak mustahil dapat dijalinkan walaupun ia mungkin mengambil masa, kata seorang penganalisis politik tanah air.

Prof Dr Ahmad Atory Hussain, pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkeyakinan kerjasama itu akan tetap berlaku walaupun UMNO dan PAS pada ketika ini masih belum menemui titik persamaan tentang bentuk kerjasama yang bakal dijalinkan itu.

“Lebih mudah UMNO dan PAS bekerjasama dalam isu lain dulu sebelum jalin kerjasama politik. Pilihan raya pun lama lagi… macam-macam benda boleh berlaku. Dalam tempoh dua bulan pun kerjasama politik boleh berlaku.

“Saya yakin dan percaya, ke arah Pilihan Raya Umum ke-14 nanti akan ada kerjasama politik (antara PAS dan UMNO), bentuknya, terpulang kepada keadaan ketika itu.

“Mungkin boleh ikut acuan kerajaan campuran UMNO-PAS tahun 1974-1977 sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

PAS akan mengadakan satu taklimat khas Sabtu ini bagi menerangkan isu kerjasama dengan UMNO kepada pemimpin-pemimpin parti itu susulan ketetapan yang dibuat Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini.

Isu kerjasama antara PAS dan UMNO kembali diperkatakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenarnya.

Najib sekali lagi menyatakan hasratnya itu di hadapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika kedua-duanya berkongsi pentas di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar hujung bulan lalu.

Beberapa pendapat sebelum ini melihat kesediaan UMNO untuk menjalin kerjasama dengan PAS lebih utama dilaksanakan dalam bentuk sosial termasuk dalam menangani isu ancaman militan Islam (IS), isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kedaulatan Raja-raja dan kedudukan agama Islam.

Dr Ahmad Atory berkata kerjasama antara kedua parti itu perlu dilihat dari perspektif lebih luas dan tidak terlalu terikat kepada tahaluf siyasi semata-mata.

Ini kerana masih banyak ruang yang boleh diterokai dalam menjalin kerjasama walaupun kedua-duanya berpegang kepada fahaman politik berbeza.

Dr Ahmad Atory berkata UMNO dan PAS akan beroleh keuntungan dari aspek pengukuhan parti jika mereka dapat merealisasikan kerjasama politik.

Seorang lagi penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat pula berpendapat perkembangan yang berlaku membabitkan UMNO dan PAS ini menunjukkan perubahan dalam politik negara yang semakin terbuka.

Katanya kerjasama politik yang diura-urakan antara kedua-dua parti itu, akan berupaya mengukuhkan kedudukan kedua-dua parti itu sebagai entiti politik di negara ini jika ia benar-benar terlaksana.

“Kedua-dua parti masih kukuh dan kuat, mempunyai anggota dan penyokong yang ramai, falsafah perjuangan masing-masing juga masih laku. Cuma kerjasama itu perlu diperjelaskan.

“Contohnya di Selangor macam mana, adakah UMNO tak akan bertanding di kerusi yang dimenangi PAS sebelum ini, atau macam mana. Untuk membentuk kerajaan pusat pula bagaimana, tahaluf siyasi atau permuafakatan politik itu perlu diperjelaskan,” kata Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Veteran UMNO Tan Sri Mohamad Aziz pula berpendapat kerjasama antara UMNO dan PAS, jika benar-benar terjalin, akan diterima anggota akar umbi UMNO.

Beliau berharap PAS tidak terlalu jual mahal sebaliknya perlu memikirkan faedah yang boleh diperoleh orang Melayu dan Islam di negara ini jika persefahaman antara kedua-dua parti dapat dicapai.

“Perpaduan Melayu memang diharapkan oleh orang Melayu, apa yang diputuskan pucuk pimpinan parti, kita terima kerana kita tahu tujuannya baik, untuk apa kita nak bantah,” katanya.

Katanya dasar dan perjuangan UMNO dan PAS tidak terlalu jauh berbeza memandangkan kedua-dua parti sama-sama mendukung perjuangan Islam. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]-evGjesBxP4[/wpdevart_youtube]

Tags: PASUMNO
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Kerjasama PH BN Beri Nyawa Kepada UMNO Kekal Relevan – DAPSY

Kerjasama PH BN Beri Nyawa Kepada UMNO Kekal Relevan – DAPSY

28/05/2026
0

KUALA LUMPUR - Kerjasama dan rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN)...

‘Menolak DAP Bukan Bermakna Menolak Kaum Cina’

‘Menolak DAP Bukan Bermakna Menolak Kaum Cina’

26/05/2026
0

KUALA LUMPUR - Menolak DAP tidak bermakna menolak kaum Cina kerana politik dan kaum merupakan dua perkara berbeza. Exco Pengajian...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd