PENYANYI terkenal era 1980 dan 1990-an, Natalie King Cole, yang juga merupakan anak kepada penyanyi tersohor dunia, Nat King Cole, meninggal dunia pada 31 Disember lalu.
Natalie meninggal dunia dalam usia 65 tahun di Hospital Cedars-Sinai, Los Angeles, Amerika Syarikat akibat kegagalan jantung.
Namun dalam beberapa tahun lalu, dia turut bertarung nyawa akibat daripada pelbagai penyakit lain antaranya masalah buah pinggang yang kronik.
Sebelum ini, Natalie terpaksa membatalkan segala perancangan bagi mengadakan konsert tournya akibat keadaan dirinya yang sangat lemah.
Selain masalah buah pinggang yang kronik, dia juga disahkan menghidapi Hepatitis B.

Anaknya, Robert Yancy, yang bersedih atas pemergian itu berkata: “Kehilangan ini sangatlah dirasai dan saya akan sentiasa merinduinya.”

Natalie merupakan anak kedua daripada lima beradik dilahirkan pada 6 Februari 1950. Dia antara penyanyi yang berpengaruh di dunia dan pernah mencatatkan rekod jualan lebih 30 juta album di seluruh dunia.
Penyanyi yang pernah menggondol 9 anugerah di Grammy Music Award ini sangat terkenal dengan lagu This Will Be, Inseparable, Our Love dan banyak lagi. – MYNEWSHUBCC
Sumber: Los Angeles Times
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=21n3Eo3Fldg]

