KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan mencari mekanisme terbaik bagi menangani kerugian yang ditanggung oleh pihak yang terlibat khususnya peniaga vape di negeri ini susulan keputusan Majlis Fatwa negeri yang mengharamkan ‘rokok elektronik’ itu baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri memahami kesulitan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha vape susulan pengharaman itu.
Katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebelum membuat keputusan terbaik bagi menangani isu berkenaan Ahad ini.
“Kerajaan negeri mengikut keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri dan perkara ini telahpun mendapat perkenaan Tuanku Sultan (Mizan Zainal Abidin) memandangkan baginda juga adalah Pengerusi Majlis Fatwa negeri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah UPSR dan PT3 bagi pelajar cemerlang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kampung Telaga Daing, dekat sini, Jumaat.
Sebelum ini Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Terengganu yang mengharamkan vape.
Katanya susulan keputusan itu juga, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan peniaga vape pada 3 Januari ini bagi memberi penerangan lebih terperinci.
Dalam pada itu Ahmad Razif juga berkata kerajaan negeri bercadang ‘menukar’ wang ihsan yang diberikan kepada mangsa banjir oleh kerajaan negeri dan persekutuan di negeri ini ke dalam bentuk polisi insurans sebagai persediaan menghadapi kerugian semasa banjir.
Katanya, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyelarasan.
“Sebelum ini kerajaan negeri dan persekutuan masing-masing menyumbangkan RM500 kepada mangsa banjir di negeri ini jadi setiap isi rumah menerima RM1,000.
Akan datang bantuan tersebut kita tukar kepada bentuk polisi insurans dan yang selebihnya akan kita gunakan untuk membeli aset dan kelengkapan agensi keselamatan sebagai persediaan menghadapi musibah banjir,” katanya.
Katanya, pemilihan polisi insurans itu akan dimuktamadkan secepat mungkin sebaik sahaja perbincangan mengenai hal itu bersama Kerajaan Persekutuan selesai dalam masa terdekat. – BERNAMA

