AMAR Baharin, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia lakonan tanah air, merupakan seorang dramatis yang dikenali dengan watak-wataknya sebagai hero romantik dalam setiap drama yang dibintanginya.
Dia yang mula mencipta nama menerusi program realiti terbitan Astro iaitu Anak Wayang pada tahun 2009, mula berganjak ke alam populariti menerusi banyak drama-drama mantap lakonannya.
Antaranya ialah Kerana Terpaksa Aku Relakan, Suamiku Encik Sotong dan banyak lagi.

Sinonim dengan gelaran ‘pretty boy‘ Malaysia, dia juga kini semakin bergiat aktif dalam dunia pementasan teater.
Selepas berjaya memegang peranan sebagai Zainuddin dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck  pada Oktober lalu, dia sekali lagi dilamar oleh CTRA Production untuk membintangi teater Zombie La La La.

Berbeza dengan apa yang selalu disaksikan sebelum ini, watak Amar dalam pementasan ini sedikit berbeza daripada kebiasaannya. Wataknya sebagai Z-Kapten Cook, akan lebih menjurus ke arah komedi.
Dan persoalannya mampukah pelakon sensasi ini melakonkan watak komedi?
Apabila ditanya, dia mengatakan: “Bagi Amar ini merupakan satu percubaan baharu yang sangat menarik dan Amar akan buatkan benda ini berjaya.
“Dan Amar juga akan cuba buat korang gelak tak berhenti-henti nanti di Istana Budaya.”
Tambahnya lagi, sekiranya penonton ingin melihat kelainan pada dirinya, mereka bolehlah datang menonton pementasan teater Zombie La La La yang akan dipentaskan pada 13 sehingga 21 Februari tahun hadapan di Panggung Sari, Istana Budaya. – MYNEWSHUBCC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=suNLrin2rs0]

